1) Non-Dairy Whipping Cream @ Fresh Cream @ Whip Topping For Cakes and Pastries @ Whipped Topping @ Whipped Cream
Non-Dairy
Whipping Cream (atau juga dikenali sebagai Fresh Cream @ Whip Topping
For Cakes and Pastries @ Whipped Topping @ Whipped Cream) adalah krim
yang dibuat khas untuk hiasan kek. Ia dirumus daripada minyak sayuran
dan minyak kelapa sawit dan tidak mengandungi bahan tenusu. Ini
menjadikan ia lebih stabil, maknanya corak-corak yang dipaip menggunakan
krim ini tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya. Ia akan kembang
3-4x ganda dari kuantiti cecair asalnya jika dipukul, jadi jangan
dituang lebih dari 20% dari saiz mangkuk mixer anda. Ia juga
menghasilkan kuantiti yang banyak. 1 liter krim ini boleh menyalut dan
menghias 3 biji kek bersaiz 8 inci (lebih kurang 1C atau 300g krim dalam
bentuk cecair). Sebelum digunakan kotak krim harus digoncang supaya
sebati (kadang-kadang air dan krim di dalam kotak akan terpisah semasa
proses nyahbeku dari freezer) dan pukul pada kelajuan yang tinggi hingga
kembang dan gebu.
[citation]
Cara guna:
Selalunya
krim jenis ini sudah ada perasa gula, jadi apa yang perlu anda lakukan
adalah colek sedikit rasa kemanisannya, tak perlu ditambah gula. Jika
tak cukup maka boleh tambah gula halus dan pukul. Jangan terlebih putar
kerana ia akan menghasilkan krim yang kasar dan sukar untuk dilepa di
atas kek. Cukup memadai jika ia kembang, gebu dan likat. Jika anda
terlebih pukul krim putar jenis bukan tenusu ini, masukkan sedikit krim
(yang masih dalam bentuk cecair) ke dalam krim yang terlebih pukul tadi.
Pukul pada kelajuan perlahan hingga krim menjadi lebih cair dan halus
(seeloknya keluarkan separuh krim yang terlebih pukul tadi dan simpan
dalam freezer untuk elak pembaziran. Guna sebanyak mana yang perlu
saja).
Mewarnakan:
Jenis
non-dairy whipping cream ini juga boleh diwarnakan sebaik saja dipukul
dengan kembang dan gebu. Ambil sedikit pewarna cecair atau serbuk (biasa
saya guna pewarna cecair) dan kacau dengan perlahan guna sudu (bagi
kuantiti yang sedikit). Simpan dalam peti sejuk sebentar untuk
'mematangkan' warna kerana dari permerhatian saya, krim yang diwarnakan
dan dibiarkan untuk sehari atau beberapa jam lebih terang dan cerah
berbanding jika digunakan terus. Ini juga dapat mengelakkan kita dari
terlebih letak pewarna dan menambahkan kuantiti cecair dalam krim. Ia
juga akan lebih mudah digunakan selepas dibiarkan dalam peti sejuk.
Penyimpanan:
Krim
yang telah dipukul sebaiknya disimpan selama sehari dalam peti sejuk.
Keesokkannya boleh gunakan untuk menghias cupcakes ataupun kek. Tips ini
supaya anda dapat krim yang lebih mantap atau juga boleh terus
digunakan. [citation] Bergantung
kepada jenama krim yang digunakan, kebanyakannya boleh tahan 6 bulan
setelah dipukul hingga gebu dan disimpan dalam bekas kedap udara di
dalam freezer (contohnya jenama Flavor Right yang biasa saya gunakan)
Walau bagaimanapun, elok jika anda tanya si penjual di kedai bakeri
supplier untuk keterangan yang lebih tepat.
Jenis/Jenama:
Antara
contoh jenama atau jenis non-dairy whipping cream/whip topping/fresh
cream yang boleh didapati di pasaran di Malaysia adalah seperti Rich's
Whip Topping (Gold Label), Red Man Whip Topping for Cakes and Pastries,
Anchor Baker's Mix Krim Putar untuk Hiasan Atas Bukan Tenusu/Non-dairy
Whip Topping, Value Pride Ready To Whip Topping, Flavor Right Premium
Dessert and Pasrty Topping, Vivo Topping Ace, Presto Toppin' Pride Ready
To Whip Topping, dan lain-lain. Jenama yang disebutkan di atas adalah
halal, insyaAllah.
Harga:
Dan
bergantung juga pada jenama, sesetengahnya lebih mudah digunakan untuk
paip hiasan atas kek dan lebih tahan pada suhu bilik berbanding yang
lain. Bergantung pada anda untuk memilih yang mana satu. Harga di
pasaran bagi 1liter whip topping antara RM10-RM12, juga bergantung pada
tempat. Salah satu tip untuk memilih whipping cream untuk hiasan atas
kek adalah lihat pada labelnya. Jika tertera perkataan 'for topping',
'whip topping' atau 'non-dairy', ia sesuai digunakan untuk hiasan.